1 Mei [ Hari Buruh ] Relevan Kewujudannya..


"Dan engkau tidak sekali-kali akan diredhai oleh golongan Yahudi dan Nasrani sehinggalah engkau mengikuti millah (cara hidup dan pemikiran) mereka".…Al-Baqarah 120

Apabila tiba 1 Mei maka seluruh dunia akan bercuti bahkan ianya dijadikan sebagai cuti AM dalam semua sektor tidak kira kerajaan mahupun swasta .Walaupun begitu adakah kita mengetahui disebalik tarikh ini apa yang berlaku ataupun dengan erti kata yang lain sejarah disebalik sambutan Hari Buruh tersebut.Mungkinkah ianya direka oleh Yahudi seterusnya kita hanya menreuskan jejak langkah mereka tanpa diketahui akan asal-usulnya peristiwa relevam kewujudannya.
Alhamdulilah ,Hamba cuba meneliti beberapa sumber yang berkaitan dengan sambutan ini.Sekadar perkongsian untuk kalian .
Keseronokan bercuti dan bersenang-senang bersama keluarga pada setiap kali cuti Hari Pekerja Sedunia menyebabkan sebahagian besar umat Islam leka dan lalai dengan hadharah Barat disebalik sambutan Hari Pekerja Sedunia ini. Dari segi sejarah, dua orang yang dianggap telah menyumbang kepada gagasan untuk menghormati para pekerja di Amerika Syarikat adalah Peter McGuire dan Mathew Maguire, seorang pekerja mesin dari Paterson, New Jersey. Pada tahun 1872, McGuire dan 100,000 orang pekerja telah melakukan mogok untuk menuntut pengurangan jam kerja. McGuire telah mengadakan pertemuan dengan para pekerja dan para penganggur serta melobi pemerintah kota untuk tujuan tersebut. Pada tahun 1881, McGuire berpindah ke St. Louis, Missouri dan mula mengorganisasi para tukang kayu. Akhirnya didirikanlah sebuah persatuan yang bergelar United Brotherhood of Carpenters and Joiners of America yang terdiri dari tukang kayu di Chicago. Idea untuk mengorganisasikan pekerja menurut bidang keahlian mereka kemudian merebak ke seluruh Amerika. McGuire dan para pekerja di kota-kota lain telah merencanakan hari cuti untuk para pekerja pada setiap hari Isnin pertama bulan September antara Hari Kemerdekaan dan Hari Pengucapan Syukur (Thanksgiving Day). Pada tanggal 5 September 1882, perarakan Hari Pekerja Sedunia pertama diadakan di kota New York dengan peserta seramai 20,000 orang yang membawa sepanduk bertulis “8 jam kerja, 8 jam istirahat, 8 jam rekreasi”. Maguire dan McGuire memainkan peranan penting dalam menyelenggarakan perarakan ini. Dalam tahun-tahun berikutnya, gagasan ini semaking berkembang dan banyak bahagian di Amerika mula merayakannya.

Pada 1hb Mei 1886, sekitar 400,000 pekerja di AS mengadakan demonstrasi besar-besaran untuk menuntut pengurangan jam kerja mereka. Pasukan polis Amerika kemudian menembak para peserta demonstrasi tersebut sehingga ratusan orang terbunuh dan para pemimpinnnya ditangkap dan dihukum bunuh. Sebelum peristiwa 1 Mei tersebut, di berbagai negara juga telah berlaku pemogokan oleh pekerja untuk menuntut perlakuan yang lebih adil dari para pemilik modal (kapitalis). Pada bulan Julai 1889, Kongres Sosialis Dunia yang diselenggarakan di Paris menetapkan peristiwa 1hb Mei berkenaan sebagai Hari Pekerja Sedunia dan mengeluarkan resolusi bahawa “Satu tindakan besar antarabangsa harus diorganisasikan pada satu hari tertentu di mana semua pekerja (pekerja) di setiap negara pada masa yang sama menuntut agar pemerintah membuat undang-undang untuk mengurangkan jam kerja menjadi 8 jam sehari, dan juga melaksanakan semua resolusi Kongres Pekerja Antarabangsa Perancis.”

Resolusi ini mendapat sambutan yang hangat dari berbagai negara dan sejak tahun 1890, tanggal 1 Mei, yang diistilahkan dengan May Day, diperingati oleh kaum pekerja di berbagai negara, meskipun di sebahagian negara mendapat tekanan keras dari pemerintah masing-masing. Sejak 1880, di AS dan Kanada, Hari Pekerja Sedunia disambut pada setiap hari Isnin pertama setiap September walaupun ada beberapa desakan dibuat untuk mengubahnya ke 1hb Mei.

Apa yang jelas dari sejarah Hari Pekerja Sedunia ini adalah ianya muncul dari rasa ketidakpuasan hati para pekerja setelah mereka ditindas dengan kejam oleh para pemilik modal. Setelah tidak tahan dengan mogok/demonstrasi yang sering dilakukan, maka pemerintah telah mengambil jalan tengah (kompromi) dengan melayani tuntutan yang dibuat oleh para pekerja dan seterusnya memberi ‘pengiktirafan’ kepada perjuangan mereka dengan mengisytiharkan hari cuti untuk mereka. Jalan tengah ini sedikit sebanyak mengurangkan desakan-desakan para pekerja. Kompromi sistem kapitalis barat inilah yang telah yang melahirkan Hari Pekerja Sedunia. Malangnya, umat Islam sekali lagi telah ‘terpukau’ dengan ‘hasil’ dari sistem Kapitalisme ini dan turut menyambut Hari Pekerja Sedunia dengan penuh makna dan penuh harapan.

“Menjelang sambutan Hari Pekerja 1 Mei ini, Dewan Muslimat PAS Pusat meminta kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi perhatian serius kepada pekerja wanita sama ada di sektor awam, industri dan perladangan. Menurut AJKnya, Senator Siti Zailah Md Yusuf, kerajaan perlu peka dengan nasib pekerja wanita terutama yang mempunyai anak sehingga terpaksa meninggalkan anak-anak di rumah asuhan dengan kadar bayaran yang tinggi. Katanya, setakat ini bebanan pekerja wanita amat berat dengan kadar tempoh waktu bekerja yang sama dengan pekerja lelaki selain memikul tanggungjawab serta tugasan yang sama berat. Baginya, Malaysia yang didakwa pimpinan kerajaan BN sebagai sebuah negara maju sepatutnya membela nasib para pekerja dengan memberi keutamaan dari aspek kehidupan mereka seperti bantuan pelajaran, perubatan dan perumahan. Zailah berharap, menjelang sambutan Hari Pekerja, kerajaan perlu menilai semula had gaji minimum kepada para pekerja bukan hanya perlu menunggu mereka mendesak baru diberi bonus atau kenaikan gaji” [Harakahdaily.net]

Masalah Pekerja Diakibatkan oleh Sistem Kapitalisme

Di dalam sistem ekonomi kapitalisme, rendahnya gaji pekerja adalah menjadi faktor penarik bagi para pelabur asing untuk kepentingan peningkatan pendapatan negara (dan bukannya individu didalam negara). Justeru memelihara keadaan seperti ini adalah sesuatu yang baik bagi peningkatan ekonomi. Keadaan seperti inilah yang menyebabkan pihak pemerintah selalunya memilih dan memihak kepada 'sang investor', dibanding dengan pekerja (yang merupakan rakyatnya sendiri) ketika terjadi krisis perpekerjaan.

Di dalam sistem kapitalisme, meskipun terdapat perbezaan dikalangan negara yang menerapkannya, peranan negara secara umum adalah sekadar pemerhati yang hanya menetapkan polisi untuk ‘sang investor’ dan sedikit sebanyak perundangan bersangkut masalah perpekerjaan. Akibatnya, dalam kegilaan sesebuah negara kapitalis untuk meningkatkan keluaran dalam negaranya, ia mengabaikan kesejahteraan rakyat, terutamanya para pekerja. Prinsip sistem kapitalis yang bersandarkan ‘siapa yang mahu hidup sejahtera dia harus bekerja dan mencari pendapatan sesuai dengan kemahuannya’ menyebabkan mereka yang tidak mampu bekerja atau lemah gagal menyara hidup mereka sendiri. Negara yang mengamalkan sistem kapitalis pada hakikatnya berlepas diri dari memenuhi keperluan asas (primary needs) warganegaranya, apalagi keperluan sekunder (secondary needs) dan tersier (tertiary needs). Sebagai contoh di Indonesia, menurut laporan Center for Labour and Development Studies (CLDS) pada tahun 2002 jumlah penganggur di Indonesia adalah seramai 42 juta orang (Republika, 13/05/02). Jumlah ini adalah lebih kurang satu kali ganda penduduk Malaysia. Lebih malang lagi, pemerintah Indonesia tidak pernah benar-benar serius untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka, walhal ini adalah tanggungjawab pemerintah. Justeru itu, kita melihat kebanjiran warga Indonesia yang berhijrah ke Malaysia untuk mencari sesuap nasi. Inilah masalah yang muncul hasil diterapkan aqidah kapitalisme di dalam sesebuah negara.

Dalam masyarakat kapitalis seperti yang wujud pada saat ini, tugas negara adalah lebih kepada fungsi pengelola, yakni mengelola ‘kebebasan’ warganegaranya. Ajaran kapitalisme tidak pernah meletakkan tugas negara sebagai 'pengurus dan penanggungjawab pemenuhan keperluan asas rakyatnya'. Rakyat, walaupun yang tidak mampu bekerja seperti orang-orang tua, orang-orang sakit atau orang-orang cacat, yang ingin memenuhi keperluan asasnya harus bekerja secara mutlak. Prinsip struggle for life benar-benar diterapkan. Sesebuah negara kapitalis akan senantiasa ‘mencuci tangannya’ dari golongan ini. Kalau adapun sekelumit usaha untuk kononnya membela golongan ini, ia hanyalah sekadar melepaskan batuk ditangga. Negara yang menganut kapitlisme tidak pernah benar-benar menyelesaikan masalah perpekerjaan, malah sebaliknya, mewujud dan memperparahkan lagi masalah tersebut

Pandangan Islam Tentang Pekerjaan

Islam memandang bahawa hubungan pekerja dan majikan adalah hubungan antara ajir (pekerja) dengan musta'jir (majikan). Memandangkan didalamnya mencakup berbagai aktiviti manusia, maka hubungan ajir dan musta'jir ini diatur dengan hukum-hukum yang menyangkut ijarah. Ijarah adalah transaksi atas perkhidmatan atau manfaat (yang dikeluarkan oleh ajir) dengan memperolehi imbalan atau balasan berupa upah/gaji. Oleh itu dasar kepada hubungan antara ajir dengan musta’jir adalah manfaat yang dikeluarkan oleh ajir (yang tentunya diperlukan oleh musta’jir). Dan atas 'usahanya' itu pekerja memperoleh imbalan berupa upah/gaji dari pihak yang mengambilnya bekerja (majikan). Berdasarkan hal ini, maka upah atau gaji itu berbeza-beza, kerana jenis manfaat/perkhidmatan yang dikeluarkan oleh pekerja itu pun berbeza-beza. Bahkan bagi suatu jenis perkhidmatan/manfaat, besarnya upah/gaji yang diberikan adalah berbeza mengikut latar belakang pendidikan, kecekapan, pengalaman bekerja dan sebagainya.

Oleh kerana itu, besarnya upah/gaji yang akan diperolehi seorang pekerja, ditentukan oleh kedua belah pihak, iaitu pekerja itu sendiri dan pihak yang mengambilnya bekerja. Dalam hal ini pemerintah/negara tidak boleh campur tangan dalam menentukan kecil besarnya upah/gaji sebagaimana pemerintah/negara tidak boleh campur tangan dalam menentukan kualiti manfaat/perkhidmatan yang diusahakan oleh pekerja. Ianya semata-mata ditentukan berdasarkan aqad ijarah diantara kedua-dua belah pihak. Islam tidak pernah membezakan antara hak dan tanggungjawab pekerja lelaki dan wanita. Masing-masing mempunyai hak dan kewajipan sesuai dengan aqad kerja (ijarah) yang dimasuki.selama mana aqad tersebut adalah bertepatan dengan syara’.

Dengan demikian, hubungan antara pekerja dan majikan, hak-hak dan kewajiban masing-masing adalah bergantung kepada jenis manfaat/perkhidmatan yang dikeluarkan, tempoh kontrak, besarnya upah/gaji, waktu pembayarannya dan seumpamanya berdasarkan aqad yang dimasuki. Selain perkara-perkara tersebut, seperti hak pekerja atas kesihatan, jaminan hari tua dan lain-lainnya barulah merupakan kewajiban dan tanggungjawab pemerintah/negara. Negara (dalam perspektif Islam) bukan sahaja bertanggungjawab terhadap kaum pekerja, malah atas seluruh rakyat – per individu – menyediakan setiap keperluan asas mereka. Bahkan negara juga wajib melindungi dan memelihara kepentingan dan keperluan seluruh lapisan masyarakat, baik itu kaum pekerja, kalangan majikan, pengusaha, kaum lemah maupun berada, laki-laki maupun perempuan, anak-anak maupun orang-orang tua. Rasulullah saw bersabda:

“Imam (Khalifah/kepala negara) itu adalah pemelihara (rakyatnya). Dia bertanggung jawab ke atas rakyatnya.” [HR. Bukhari]

Di sinilah letaknya keadilan Islam, tidak hanya berpihak kepada golongan pekerja, lemah dan miskin sahaja, tetapi juga terhadap kalangan majikan, pengusaha, dan golongan yang kaya. Semua lapisan masyarakat memperoleh jaminan keamanan, kesejahteraan dan keadilan. Semuanya akan diperlakukan sesuai dengan hukum syara’.

Berkaitan dengan majikan yang zalim, Rasulullah SAW telah mengingatkan didalam hadis qudsi;

"Tiga orang yang Aku musuhi pada hari kiamat nanti adalah orang yang telah memberikan (bai'at kepada Khalifah) kerana Aku, lalu berkhianat; orang yang menjual orang yang merdeka (untuk dijadikan hamba sahaya), lalu dia memakan harga (hasil) penjualannya; serta orang yang mengontrak pekerja kemudian pekerja tersebut menunaikan pekerjaannya, sedang orang itu tidak memberikan upahnya”.
[HR Ahmad, Bukhari, dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah]

Apa yang pasti, di dalam sistem Islam yang diterapkan di dalam Daulah Khilafah Islamiyyah, tidak akan wujud masalah perpekerjaan sebagaimana yang kita lihat dalam sistem kapitalisme mahupun sosialisme hari ini. Sehinggakan (didalam Islam) tidak ada pekerja yang ditindas atau dizalimi yang menyebabkan mereka perlu mogok untuk memperjuangkan hak mereka. Justeru kita mendapati bahawa tidak pernah timbul isu para pekerja menuntut diadakan Hari Pekerja Sedunia di zaman Rasulullah, zaman Khulafa’ ar-Rashidin atau kekhilafah Islam lainnya. Dengan itu, sunnah siapakah yang kita (kaum muslimin) ikuti dalam menyambut Hari Pekerja Sedunia ini?

Bangkitlah dan sedarlah wahai kaum muslimin sekelian!

Seluruh lapisan umat Islam, termasuklah kalangan pekerja dan majikan haruslah menyedari bahawa pucuk pangkal dari ribuan permasalahan yang menjerat kita saat ini adalah kerana kita, kaum muslimin, didominasi oleh sistem kapitalisme. Seharusnya yang dituntut oleh umat, termasuk para pekerja adalah penggantian sistem ini dengan sistem Khilafah Islam, yang akan mengembalikan penerapan syari'at Islam di muka bumi ini. Inilah perkara yang wajib diperjuangkan oleh kaum muslimin dengan sepenuh keimanan dan kekuatan. Sistem Islam adalah rahmat untuk semua golongan manusia, termasuklah kaum pekerja.

No comments: