Menteri Perancis dibidas tokoh Islam







HEBBADJ (kiri) dan Anne (bukan nama sebenar) menemui media di Nantes, baru-baru ini.

Arah batal status warga negara kerana poligami

NANTES: Profesor Kajian Islam di Universiti Oxford, Tariq Ramadan, menyifatkan langkah Menteri Dalam Negeri Perancis, Brice Hortefeux 'mencabul nilai negara sendiri' kerana menghukum suami seorang wanita yang ditahan memakai niqab dengan menggesa kewarganegaraan lelaki itu ditarik balik atas sebab berpoligami.
“Undang-undang di sini mengatakan berpoligami adalah haram. Tetapi, sejak bila pula seorang menteri boleh merujuknya sebagai sebab menarik balik kewarganegaraan,” tanya Ramadan dalam satu perhimpunan dihadiri 1,000 orang di masjid Arrhama di sini, semalam.
Hortefeux sudah mengutus surat kepada Menteri Imigresen, Eric Besson memintanya mengkaji dakwaan bahawa Lies Hebbadj, suami wanita dikenali sebagai Anne (bukan nama sebenar), mungkin anggota kumpulan radikal dan mengamalkan poligami kerana memiliki empat isteri dan 12 anak serta bersalah atas penipuan faedah kebajikan.
Menteri itu berkata, kewarganegaraan Hebbadj mungkin ditarik balik jika dakwaan berkenaan benar.

Besson, bagaimanapun, berkata bahawa prosedur menarik balik status warga negara Hebbadj tidak akan berjaya kecuali dia sudah didapati bersalah terbabit dalam kegiatan jenayah.

Beliau juga berkata, tentu sukar untuk membuktikan jika seseorang itu mengamalkan poligami.
Di sebalik ketegangan atas perkara itu, Ramadan yang berasal dari Switzerland, memuji masyarakat Islam di Nantes kerana tidak bertindak balas atas provokasi berhubung isu berkenaan.

Sementara itu, pemimpin berhaluan kanan Perancis, Jean-Marie Le Pen menyifatkan sebagai satu skandal semua isteri Hebbadj menerima faedah kerajaan selain menganggap tindakan menarik balik kewarganegaraan lelaki itu sebagai perkara biasa.

Tetapi, mengenai tindakan mengharamkan purdah, Le Pen berkata, ‘isu itu menutup jenayah besar sedangkan langkah itu tidak perlu.’

Presiden Nicolas Sarkozy meneruskan langkah mengharamkan wanita memakai purdah di tempat awam minggu lalu meskipun pakar undang-undang memberi amaran ia melanggar Perlembagaan.

Bagaimanapun, langkah Sarkozy dianggap tidak kena dengan masanya ketika populariti beliau menjunam dan partinya kalah besar dalam pilihan raya wilayah, Mac lalu.

Pesaing politik beliau daripada Parti Sosialis pula menganggap penahanan Anne diikuti isu mengenai suaminya sebagai satu ‘perangkap.’

“Kerajaan melayan penduduk seolah-olah mereka bodoh dan menjadikan warga Muslim sebagai mangsa,” kata ahli perundangan Sosialis, Jean-Marie Le Guen, di televisyen Itele, kelmarin.

Seorang lagi anggota kanan parti itu, Jean-Marc Ayrault, bertanya mengapa kerajaan memainkan isu berkenaan sekarang.

“Agensi kerajaan, kehakiman dan perkhidmatan sosial sudah tahu mengenai kehidupan lelaki itu sejak beberapa tahun lalu,” katanya kepada radio France-Info. – Agensi

No comments: