Industri Buku Tempatan


KEHADIRAN buku import di negara ini dianggap tidak menguntungkan pemain industri terbabit apabila ia dikuasai pengimport dari Singapura dan syarikat multinasional, lalu senario itu perlu diambil kira dalam menilai Dasar Buku Negara yang sebelum ini diluluskan Kabinet pada 1985.

Justeru, Persatuan Penerbit dan Pengedar Buku Bumiputera Malaysia (PPPBBM) menyarankan kerajaan untuk memperkenalkan dasar yang tidak membenarkan buku import dibawa masuk ke negara ini melalui negara ketiga demi kepentingan penerbit tempatan.
Bagaimanapun, pelaksanaan pendekatan baru itu tidak mungkin dapat memajukan industri buku tempatan sekiranya pemainnya tidak disokong oleh kerajaan sama ada dalam bentuk peluang atau dana seperti dinikmati industri kraftangan dan pelancongan.
Pengerusi Persatuan Penerbit dan Pengedar Buku Bumiputera Malaysia (PPPBBM), Shaari Abdullah, berkata meskipun nilai jualan buku di negara ini mencecah RM5 bilion berdasarkan anggaran Majlis Industri Buku Malaysia, buku import masih menguasai industri buku negara sehingga mencapai 70 peratus daripada nilai keseluruhan.

“Ini bermakna kira-kira RM3 bilion datangnya daripada buku import yang sebenarnya dikuasai syarikat dari Singapura dan multinasional. Aduan harga buku merangkumi kos gudang di Singapura, pelabuhan dan pekerja di negara terbabit,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Ke-4 PPPBBM di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, semalam.

Pada 1 April lalu, akhbar tempatan melaporkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mempersoalkan mengapa 5,150 penulis Malaysia tidak boleh hidup daripada hasil penulisan sedangkan nilai jualan buku mencecah RM2.1 bilion.

Rais turut berasa ada yang tidak kena apabila 8,184 syarikat penerbitan mencatat keuntungan berjuta ringgit setiap tahun, tetapi tiada penulis buku mencapai taraf jutawan ekoran ketidakseimbangan dalam pembahagian keuntungan di antara penulis dengan penerbit.
Shaari berkata, pihaknya akan menghantar memorandum kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) sebagai susulan daripada memorandum yang menyentuh hal sama dan pernah dihantar kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2003.

“Memorandum kali ini antaranya menegaskan buku import perlu terus ke negara ini tanpa perlu singgah di negara kedua bagi membolehkan harganya yang ditawarkan di pasaran lebih murah dan kami memerlukan sokongan kerajaan bagi merealisasikan perkara ini,” katanya.

Pengarah Urusan Ilham Management Consultants Sdn Bhd, Mohd Ramly Ngah Idris, pula berkata kehadiran pihak ketiga dalam dagangan buku menyebabkan proses penghantarannya terlalu lama khususnya buku yang kehabisan stok kerana perjalanan dari negara penerbit seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) ke Singapura, sebelum ke negara ini.

“Kos juga bertambah kerana seandainya kita membeli buku terus daripada penerbit, kita mungkin mendapat potongan berbaloi, tetapi pembelian melalui orang tengah menyebabkan diskaun terpaksa dikongsi banyak pihak.

“Ia juga boleh mengurangkan reputasi dan hubungan antara kita dengan penerbit kerana industri buku luar melihat pasaran Singapura seolah-olah lebih besar dan menguntungkan berbanding Malaysia, meskipun hakikatnya sebahagian daripadanya adalah untuk pembeli di negara ini,” katanya kepada Sastera di pejabatnya di Sunway Batu Caves, Gombak, baru-baru ini.

Sastera difahamkan, hubungan antara pengimport buku di Singapura dengan penerbit gergasi khususnya di AS dan UK sudah lama berlangsung sehingga sebahagiannya sejak kemerdekaan, meskipun pasaran di negara ini lebih besar kerana mempunyai banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta, perpustakaan serta kementerian.

Bagaimanapun, Mohd Ramly mengakui dasar untuk menghalang pembabitan negara ketiga sukar diperkenalkan kerana Malaysia menerima pasaran ekonomi bebas, tetapi apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah memperkukuhkan industri buku tempatan dengan memperkenalkan pakej sokongan.

“Ini termasuklah misi perdagangan ke luar negara oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk memperkenalkan penerbit dan pengimport buku tempatan kepada pasaran baru dan penerbit buku gergasi.

“Misi perdagangan itu sudah tentu jauh berbeza berbanding inisiatif penerbit atau pengimport sendiri untuk ke negara terbabit kerana perlu berdepan dengan isu perbelanjaan yang tinggi dan kesukaran untuk meyakinkan mereka mengenai pasaran buku di negara ini yang sebenarnya jauh lebih luas,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan untuk mewujudkan geran dan dana pembiayaan kerana industri buku memerlukan modal besar termasuk syarikat yang baru bertapak sangat berhajat mendapatkan modal pusingan.

“Industri buku membabitkan banyak pihak daripada penerbit, pencetak, penjilid, pemasar dan pekedai sehingga menyebabkan margin keuntungan rendah dan lambat diperoleh, manakala bayaran kepada pihak tertentu perlu didahulukan.

“Faktor margin keuntungan rendah dan risiko tinggi itu menyebabkan bank begitu berhati-hati untuk meluluskan pinjaman yang dipohon pemain dalam industri buku ini, sedangkan industri perfileman dan kreatif umpamanya diberi dana khusus,” katanya.


** Sumber Halaman Sastera Akhbar Berita Harian

No comments: