Palestin balas kekejaman

BALAS DENDAM: Anggota penyelamat Israel membawa seorang daripada pelajar Yahudi yang menjadi mangsa serangan di sebuah sekolah agama di Baitulmaqdis. Gambar kecil Ibrahim al-Dabbashi.

8 pelajar Yahudi dibunuh, Libya sekat resolusi 'berat sebelah' PBBBAITULMAQDIS: Seorang penyerang Palestin menembak mati lapan pelajar sebuah sekolah agama Yahudi di sini lewat malam kelmarin yang menyusuli operasi ganas tentera rejim Zionis di Semenanjung Gaza yang meragut sekurang-kurangnya 100 nyawa sejak minggu lalu. Seramai sembilan pelajar berusia 15 hingga 26 tahun Sekolah Agama Yahudi Mercaz Harav turut cedera ditembak penyerang bersenjatakan raifal dan pistol yang melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah pelajar sebelum dia ditembak mati.
Kejadian itu adalah serangan berani pertama seumpamanya di Baitulmaqdis dalam tempoh empat tahun. Sekolah yang disifatkan antara paling berprestij, mempunyai 400 pelajar menengah, termasuk askar Israel yang sememangnya membawa senjata. Sekolah Yahudi itu juga dikaitkan dengan barisan kepemimpinan pergerakan pendatang haram Yahudi di Tebing Barat. Di New York, Libya dan dua lagi anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyekat resolusi mengutuk serangan itu.
Sekalipun dibantah Amerika Syarikat dan Israel, Timbalan Duta Libya ke PBB, Ibrahim al-Dabbashi, menegaskan: "Jika Majlis Keselamatan mahu mengambil tindakan, ia perlu adil dan turut mengutuk pembunuhan penduduk Palestin di Gaza selain kejadian di Baitulmaqdis." Serangan itu mencetuskan suasana panik apabila pelajar yang memenuhi perpustakaan bagi sesi mentelaah pada waktu malam, bertindak terjun dari tingkap, manakala buku bertaburan, dipenuhi darah. Sejurus selepas serangan itu, pelajar lain berkumpul di luar bangunan dan melaungkan 'Jahanam Arab' dan berikrar membalas dendam. Pegawai pertahanan Israel mendakwa penyerang terbabit datang dari arah timur Baitulmaqdis yang menjadi penempatan ramai penduduk Palestin di Baitulmaqdis. Mereka sememangnya memiliki kad pengenalan Israel yang membolehkan mereka bebas bergerak di Israel tetapi berbeza dengan penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza yang hidup sebagai tawanan rejim Zionis dengan pergerakan mereka amat terbatas.
Jurucakap polis Yahudi, Micky Rosenfeld berkata, penyerang itu memasuki kawasan itu menerusi pintu utama. Saksi berkata, dia kemudian memasuki perpustakaan yang dipenuhi kira-kira 80 pelajar. Penyerang itu dikatakan menggunakan raifal dan pistol dibawanya secara serentak. "Sekurang-kurangnya enam kelongsong peluru ditemui di atas lantai. Petugas penyelamat berkata sembilan mangsa cedera, tiga daripadanya parah." David Simchon, ketua sekolah Yahudi berkenaan berkata, pelajar terbabit sedang membuat persiapan menyambut tahun baru Yahudi yang turut membabitkan hari cuti Purim. "Kami sememangnya mahu mengadakan satu parti Purim di sini malam ini, tetapi apa yang berlaku adalah kejadian pembunuhan beramai-ramai," katanya kepada stesen televisyen tempatan, Channel 2 TV. Penyerang itu bagaimanapun ditembak mati oleh seorang graduan sekolah itu yang juga pegawai tentera dan tinggal berhampiran. "Dia melihat penyerang itu melepaskan tembakan dan segera menembaknya." Yehuda Meshi Zahav, ketua perkhidmatan menyelamat, berkata dia memasuki perpustakaan itu dan terkejut dengan apa didakwanya sebagai tidak ubah seperti rumah sembelih. Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang berpendirian sederhana, segera mengutuk serangan berkenaan dan pagi semalam beberapa ahli Parlimen Israel pula menggesa kerajaan memutuskan rundingan damai dengan Palestin. – AP/Reuters
P/S :Walaupaun kita tak mampu menghulurkan dari segi material cukuplah kita sentiasa doakan Supaya Allah melindungi mereka.Kerana Allah tidak akan mensia-siakan doa hambanya.Sama-samalah doakan untuk mereka disana agar sentiasa berada dibawah lembayung keredhaan Allah .

1 comment:

Alex said...

That was a Hezbollah attack in revenge for Israel killing Mughniyeh in Syria, look here:
samsonblinded.org/blog/the-mind-game.htm